Kerjasama Pelbagai Hala Kementerian Luar Negeri Malaysia

Matlamat dasar luar negara Malaysia yang jelas berhubung dengan pertahanan dan keselamatan, pembangunan dan perdagangan, kerjasama dan diplomasi antarabangsa menentukan corak hubungan kita dengan negara jiran serta negara lain dalam rangka kerja ASEAN, ARF, APEC, ASEM, Kerjasama Selatan-Selatan, OIC, Komanwel, NAM, PBB dan pertubuhan serantau dan antarabangsa yang lain.

Pertubuhan inilah yang cuba melindungi kepentingan negara membangun. Diakui bahawa kejayaan terbaik mereka dihasilkan secara gabungan, tetapi ternyata negara membangun menghadapi banyak masalah yang sama dan perlu bekerjasama untuk berdepan dengan cabaran globalisasi yang baru. Kita juga akan terus membuatkan kehadiran kita dirasai dalam forum antarabangsa.

Di peringkat pelbagai hala, Malaysia sentiasa mempertahankan kedudukan negara membangun dalam isu penting seperti keganasan, hak asasi manusia, demokrasi dan alam sekitar meskipun menghadapi tekanan yang kuat dalam proses itu. Malaysia akan terus memegang peranan yang proaktif di peringkat antarabangsa.

Malaysia telah dan akan terus aktif dalam OIC, Komanwel, NAM dan PBB. Forum sedemikian berguna untuk menggalakkan kerjasama antara negara anggota, mencari penyelesaian untuk masalah global dan mewujudkan peraturan asas bersama yang akan menjadi panduan dalam hubungan antarabangsa yang harmoni. Malaysia akan terus menggunakan platform ini untuk membicarakan isu global seperti hak asasi manusia dan demokrasi, alam sekitar, keganasan antarabangsa dan jenayah transnasional, pelarian, pelucutan senjata dan pembaharuan Majlis Keselamatan PBB. Kebelakangan ini, Malaysia berdiri di barisan hadapan dalam menyuarakan keprihatinan dan keperluan menentang ancaman kegiatan melanun di peringkat antarabangsa.

Kita percaya bahawa PBB perlu sentiasa berkesan dalam menangani isu pembangunan global, keamanan dan keselamatan, aktiviti kemanusiaan, krisis antarabangsa dan pelanggaran Piagam PBB serta prinsip undang-undang antarabangsa – secara adil dan saksama.

Malaysia sentiasa menyokong kuat semangat hubungan pelbagai hala dan menentang semua bentuk unilateralisme. Kita tidak percaya bahawa unilateralisme ialah cara untuk menyelesaikan masalah antarabangsa.Malaysia yakin bahawa hanya PBB sahaja yang boleh mengesahkan peraturan antarabangsa. Sebagai sebuah negara membangun yang kecil dalam arena antarabangsa, Malaysia perlu mendukung kuat prinsip piagam PBB sebagai jalan terakhir dalam pertahanan.Dasar Luar Malaysia – Rumusan

Fenomena penting yang akan memberikan kesan hebat kepada dasar luar negara Malaysia sambil kita mara ke depan ialah globalisasi. Cabaran terbesar kita adalah memperoleh perkara terbaik daripada proses globalisasi dan memberikan sumbangan terbaik kita dalam sistem tersebut. Dan sebagai balasan, kita membantu dalam menjadikan dunia tempat tinggal yang lebih aman dan saksama, menjadi pemimpin di rantau kita dan menunjukkan teladan serta menjadi negara anggota yang bertanggungjawab dalam komuniti antarabangsa.

Dalam bidang politik, kita menyaksikan berakhirnya perang dingin. Namun, dunia pada hari ini masih tidak selamat seperti yang dijanjikan. Apa yang digelar ‘desa global’ yang mesra masih belum menjadi kenyataan. Konflik lama masih belum tamat atau ada saja caranya untuk menghantui kita. Pada masa yang sama, konflik baru yang ada kalanya menumpahkan lebih banyak darah dan lebih kejam daripada konflik lama terus wujud dan mengganas atau tiada penyelesaiannya. Selain itu, dua isu lain yang amat membimbangkan juga masih berterusan, iaitu:

• Keganasan yang terus mengancam kehidupan dan harta benda mangsa yang tidak berdosa: dan

• Kewujudan senjata yang mengakibatkan kemusnahan besar dan boleh membawa kepada perang nuklear, kimia dan biologi.

Oleh itu, dasar luar negara kita perlu didorong ke arah memastikan lebih banyak negara menandatangani dan mengesahkan persidangan antarabangsa yang berkaitan, seperti Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT), Triti Larangan Senjata Nuklear (TPNM), Konvensyen Senjata Biologi (BWC), Konvensyen Senjata Kimia (CWC) dan Konvensyen Periuk Api (CLM).

Aspek ekonomi globalisasi jauh lebih mengecewakan. Krisis kewangan yang melanda Asia Timur pada tahun 1997 tidak sahaja membawa kesengsaraan kepada masyarakat dan menghancurkan ekonomi tetapi juga mengakibatkan ketakstabilan politik. Pengangguran secara besar-besar, pertumbuhan negatif, keruntuhan pasaran saham dan kejatuhan nilai mata wang yang teruk menarik berjuta-juta penduduk di bawah garis kemiskinan. Dan kini, kita melihat dengan penuh rasa cemas kesan yang mungkin disebabkan oleh pencairan ekonomi ekoran daripada krisis kewangan global.

Situasi yang buruk ini menghendaki semua perkara berkaitan globalisasi ekonomi serta liberalisasi kewangan dan perdagangan ditangani dengan bersungguh-sungguh. Ini merupakan satu lagi cabaran terbesar bagi dasar luar negara Malaysia. Malaysia akan terus menekan supaya distruktur semula reka bentuk kewangan antarabangsa yang mudah dimanipulasi secara spekulasi dan mudah turun naik terlalu kerap dan secara berlebihan.

Aktivisme Malaysia di peringkat antarabangsa pastinya menarik perhatian dan reaksi daripada pelbagai pihak. Sehingga baru-baru ini, Malaysia menjadi sasaran kritikan kerana “terlalu lantang”. Tetapi langkah ini perlu kita ambil jika Malaysia mahu menjadi proaktif di peringkat global.

Prinsip dasar luar negara kita mampu bertahan apabila diuji masa. Malah, pegangan teguh kita terhadap prinsip ini, disertai dengan dasar luar negara yang konsisten, memantapkan kredibiliti Malaysia di mata dunia.

• Inisiatif Malaysia di pelbagai forum serantau dan antarabangsa meletakkan negara dalam peta dunia.

• Kemakmuran ekonomi dan kestabilan politik yang meningkat membolehkan Malaysia mewujudkan bidangnya sendiri di peringkat antarabangsa.

• Hadirnya dirasai membolehkan Malaysia menunjukkan usaha yang dibuat supaya pengaruhnya dalam menentukan agenda antarabangsa.

• Disebabkan kurang bergantung pada pertolongan dan bantuan luar, Malaysia boleh menyuarakan isu yang tidak dapat disuarakan oleh negara membangun lain kerana bimbangkan balasan yang akan diterima daripada kuasa besar dunia, terutamanya Barat.

Tahun-tahun yang akan datang bakal menyaksikan dasar luar negara kita khususnya berorientasikan usaha menjamin kejayaan dalam negeri dan juga di peringkat antarabangsa, selaku pelaksana geopolitik dan ekonomi di peringkat global.